NEWS

KUNJUNGAN HORMAT KOMISIONER JENERAL PENJARA

SAPSP Online: 9 Mac 2019. Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani telah menerima kunjungan hormat Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, KJP Dato' Sri Hj Zulkifli Omar di Balai Tamu, Canselori, Khamis lalu. Kunjungan bertujuan membincangkan mengenai halatuju dan memantapkan lagi kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan institusi koreksional di Malaysia yang telah terjalin lebih 13 tahun, khususnya melalui Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP).

Dekan SAPSP, Dr. Abdul Razak Abd Manaf berkata perbincangan juga berkisar tentang pemantapan program-program sijil, pasca diploma dan sarjana yang telah dilaksanakan kepada pegawai-pegawai penjara di seluruh Malaysia.

"Hal ini selaras dengan hasrat menjadikan kakitangan kerajaan terutamanya pegawai penjara sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi melaksanakan perkhidmatan dengan lebih cemerlang.

"Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan demi manfaat masyarakat dan keperluan negara," ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir turut menyambut baik dan menyokong sepenuhnya kerjasama antara UUM dan Jabatan Penjara Malaysia demi manfaat bersama.

Turut hadir pada kunjungan itu ialah Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), TKJP Dato' Abdul Aziz Abdul Razak; Timbalan Pengarah Pembangunan dan Profesionalisme, TKP Adnan Atan; dan Penolong Naib Canselor UUMCAS, Prof. Dr. Huda Hj Ibrahim.