NEWS

PASUKAN INOVASI UUM RANGKUL PINGAT EMAS EDUCATIONAL TECHNOLOGY COUNSELING INNOVATION INTERNATIONAL SYMPOSIUM

 

SAPSP Online: 7 Oktober 2019.Pasukan inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai Prof. Dr. Noor Azniza Ishak dari Pusat Pengajian Psikologi Sosial, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) berjaya merangkul pingat emas pada Educational Technology Counseling Innovation International Symposium di Brunei Darussalam, baru-baru ini.

Beliau berkata, pingat emas itu diperoleh menerusi projek Psychosocial Training Manual for Volunteers (PsyCoT-M) dan Modul Konsultasi Terapeutik Keluarga.

“PsyCoT-M ini dibina bertujuan untuk memberi latihan kepada sukarelawan belia dalam menjalankan aktiviti kesukarelawan komuniti, disamping ia lebih menumpukan kepada persediaan dan sokongan psikososial yang mereka perlukan.

“Hasil kajian yang yang telah dijalankan selama tiga tahun ini dilihat dapat memberi sumbangan pengetahuan dan latihan dalam meningkatkan kemahiran sukarelawan Malaysia,” katanya.

Manakala, menurutnya, Modul Konsultasi Terapeutik Keluarga merupakan satu modul yang dirangka bagi membantu ibu bapa dan anak-anak delikuen dalam membina tingkah laku sihat dengan menggunakan pendekatan yang terapeutik.

Selain itu, UUM turut merangkul pingat emas ketiga bagi penyertaan pembinaan jaringan i-Psikologi yang mana projek tersebut adalah kerjasama antara kumpulan penyelidik dengan kakitangan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

Kesemua penyertaan inovasi itu telah dinilai oleh penilai antarabangsa seperti Brunei, Indonesia dan Filipina.

Simposium ini telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Brunei, Dato’ Seri Setia Dr. Mohammad Isham Jaafar.