NEWS

KEPERLUAN ADVOKASI DALAM HADAPI NEGARA TUA 2030

SAPSP Online: 8 Oktober 2019. Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan. Justeru, satu advokasi perlu dilaksanakan secara meluas dalam memastikan kesejahteraan warga emas dicapai pada tahap optimum.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan Dan Kebajikan Negeri Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, perangkaan pada tahun 2018 menunjukkan bilangan warga emas di Malaysia telah meningkat kepada 3.23 juta iaitu 10 peratus daripada jumlah populasi penduduk berjumlah 32.4 juta.

Menurutnya, perubahan demografi itu menjadi satu cabaran khususnya dari segi agihan kemudahan kesihatan dan infrastruktur sosial yang mana agenda penjagaan warga emas jangka panjang perlu diberikan perhatian mendalam termasuk promosi gaya hidup sihat, pencegahan dan penjagaan kesihatan perlu dipertingkatkan.

Katanya, bagi memenuhi aspirasi tersebut, advokasi perlu dilaksanakan secara meluas dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengatur persiapan termasuklah Seminar Menuju Negara Tua: Seiring Bersama sempena Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan pada 1 Oktober 2019 yang bertemakan 'The Journey To Age Equality'.

"Tema ini memberi maksud mengatasi dan mencegah ketidaksamaan usia tua masa kini dan pada masa hadapan, mengurangkan ketidaksamaan di dalam negara dan di antara negara, memastikan peluang yang sama dan mengurangkan ketidaksamaan outcome termasuk menghapuskan diskriminasi, memperkasakan dan mempromosikan penglibatan sosial, ekonomi dan politik kepada semua tanpa mengira usia, jantina, kecacatan, bangsa, etnik, asal, agama, ekonomi dan status.

"Objektif penganjuran seminar ini adalah memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai fenomena penuaan yang sedang berlaku di Malaysia, meningkatkan peranan dan potensi warga emas secara inklusif dalam menghadapi cabaran penuaan dan negara tua dan menyebarluaskan maklumat berkaitan isu-isu penuaan dan negara tua kepada kumpulan masyarakat yang pelbagai," katanya pada Majlis Perasmian Seminar Menuju Ke Arah Negara Tua: Seiring Bersama anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), baru-baru ini.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan pencapaian terkini berkaitan perkhidmatan warga emas dilaksanakan kerajaan dan kementerian seperti pengurangan kadar caruman KWSP bagi ahli berumur 60 tahun ke atas, menggubal satu akta khusus untuk warga emas, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu, Bantuan Orang Tua, Unit Khidmat Warga Emas (UPWE) dan Program Khidmat Bantu di Rumah dan perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri Kedah.

Menurutnya, beliau berharap semoga program ini dapat mencapai objektif serta memberi impak positif kepada semua peserta.

Sementara itu, Dekan SAPSP, Dr. Abdul Razak Abd Manaf berkata, penganjuran seminar itu adalah selari dengan Hari Warga Emas Antarabangsa yang ditetapkan pada 1 Oktober setiap tahun oleh Perhimpunan Agung PBB sejak 14 Disember 1990.

"Seminar yang mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini tidak perlu disangsikan lagi kerana pelbagai program telah dilaksanakan dan salah satu advokasi yang dilakukan berkaitan warga emas adalah melalui Program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-Kanak dan Remaja serta Program Golden Mind bagi peringkat Negeri Kedah di UUM pada Mac lalu.

“Program ini julung kalinya dianjurkan bukan sahaja di Kedah malah di seluruh negara yang memfokuskan kepada usaha memupuk dan mengeratkan hubungan saling melengkapi dan perpaduan dalam kalangan warga emas dan juga antara pelbagai generasi," katanya yang mewakili Naib Canselor.

Beliau berkata, pendekatan dan pelaksanaan program sebegitu merupakan platform perkongsian ilmu, idea dan kepakaran dari pelbagai peringkat umur ke arah pembangunan dan kesejahteraan warga emas.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa masyarakat dan negara pada hari ini berdepan dengan peningkatan cabaran kehidupan yang semakin kompleks terutama melibatkan warga emas.

Katanya, isu-isu seperti pengabaian dan penjagaan ibu bapa, kesihatan dan gaya hidup produktif, persediaan kewangan dan jaringan keselamatan sosial, kesunyian dan sokongan sosial keluarga serta spiritualiti dan penglibatan komuniti dalam melestarikan kualiti kehidupan yang produktif adalah antara cabaran yang perlu ditangani.

"Dalam hal ini, peranan dan tanggungjawab kita dan ahli masyarakat amat besar bagi memastikan keutuhan nilai positif diri dan kesejahteraan warga emas terus terpelihara dan berdaya saing," katanya.

Progam satu hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti penyampaian maklumat dan perkongsian pengalaman, antaranya ceramah bertajuk Penjagaan Warga Emas di Malaysia dan Persediaan Kewangan di Hari Emas, diikuti sesi Forum 1 dengan tajuk perbincangan ‘Mendepani Cabaran Negara Tua: Di manakah Sebenarnya Kita Sekarang?’ dan Forum 2 ‘Melihat Dunia Dari Kacamata Kehidupan’.

Lebih 400 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah SAPSP, kakitangan JKM, sukarelawan warga emas dan ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) negeri Kedah dan Perlis telah menyertai seminar tersebut.