NEWS

MASYARAKAT PERLU UBAH PERSEPSI TERHADAP BEKAS BANDUAN DAN PENAGIH

SAPSP Online: 18 November 2019. Persepsi negatif masyarakat yang masih menebal terhadap bekas banduan dan bekas penagih dadah harus diubah dalam usaha membantu mereka diterima dalam masyarakat semula.

Sehubungan itu, bagi mengupas permasalahan tersebut, pelajar program Pengurusan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) telah mengadakan wacana ilmu ?Penerimaan Mampu Memulihkan? di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 6/2, baru-baru ini.

Program itu melibatkan dua ahli panel iaitu Timbalan Pengarah Kanan, Penguatkuasa dan Keselamatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah, Tuan Nasru?d-Din Abdul Rahman dan Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Kota Setar, KIP Mohamad Awadi Abdullah.

Wacana ini mengupas permasalahan tanggapan negatif masyarakat yang masih menebal terhadap bekas banduan dan bekas penagih dadah yang menjadi antara faktor penyumbang kepada pengulangan tingkah laku jenayah (residivisme) atau relapse dadah.

Ahli panel, KIP Mohamad Awadi berkata, keperluan utama bagi membantu bekas banduan tidak mengulangi perbuatan jenayah ialah penerimaan masyarakat.

?Semasa dalam penjara, banduan telah menjalani proses pemulihan mengikut modul yang telah ditetapkan seperti Pelan Pembangunan Insan (PPI). Apabila keluar sahaja dari tirai besi, masyarakat yang perlu menerima mereka kembali.

?Namun, stigma atau persepsi masyarakat terhadap bekas banduan masih sukar untuk dihapuskan,? katanya yang turut memuji usaha pelajar-pelajar yang mengendalikan program itu kerana ianya menjadi medium untuk menyebarluaskan tentang pentingnya menerima kembali bekas banduan ke dalam masyarakat.

Sementara itu, ahli panel, Tuan Nasru?d-Din Abdul Rahman mengupas tentang isu penagihan berulang atau relapse antaranya disebabkan penolakan daripada masyarakat.

Menurutnya, kebanyakan banduan adalah penagih dadah dan AADK mempunyai hubungan yang rapat dengan Jabatan Penjara Malaysia dalam usaha memerangi dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

Beliau turut mengulas tentang penyalahgunaan bahan psikoaktif baharu atau New Psychoactive Substances (NPS) yang menjadi cabaran dalam menangani masalah penularan dadah.

Katanya, berdasarkan senario semasa iaitu kewujudan dan penggunaan dadah jenis NPS, ketum dan dadah sintetik mungkin akan menjadi lebih kritikal dan dijangka lebih ramai golongan muda akan terlibat dalam krisis ini.

Moderator, Muhammad Faiz Aiman turut meminta kedua-dua ahli panel mengulas tentang isu decriminalization of drug addicts atau menyahjenayahkan penagih dadah.

Tuan Nasru?d-Din memberi pandangan bahawa banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum sesuatu polisi dilaksanakan, manakala KIP Mohamad Awadi memberi pandangan polisi tersebut, jika dilaksanakan, mempunyai pro dan kontra kepada banduan dan penagih dadah.

Kedua ahli panel mengharapkan lebih banyak kolaborasi antara pihak UUM dengan agensi, sama ada melalui aktiviti forum, lawatan pelajar ke institusi pemulihan dan aktiviti lain yang bersesuaian.

Wacana ilmu tersebut telah dijayakan oleh pelajar melalui kelas SSWA3313 (Kemahiran Kerja Sosial dalam Pusat Pemulihan) dengan bimbingan Pensyarah Kanan, Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir.