NEWS

KAUNSELING KELOMPOK PENDIDIK BERSAMA PELAJAR KMK

SAPSP Online: 24 Disember 2019. Selaras dengan keperluan sesi kaunseling dalam dunia remaja penuh mencabar ini, Persatuan Pengurusan Pendidikan (Pendidik), UUM mengadakan program kaunseling kelompok, Explore Your Future with Pendidik bersama pelajar pelajar Kolej Matrikulasi Kedah.

Pengarah program, Adh Dhamirah Abdul Jalil berkata, program yang disertai 120 ahli Pembimbing Rakan Dinamik (PRD) sebagai klien kepada 40 pelajar Pendidik ini bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada para pelajar Pendidik yang mengambil kursus Teori dan Praktis Kaunseling Kelompok (SSKC2233).

“Berbekalkan pengajaran teori yang diberikan melalui sesi pembelajaran di dalam kelas, program bertindak sebagai platform bagi memastikan pelajar lebih memahami pembelajaran melalui pengaplikasian di alam nyata,” ujarnya.

Bertemakan hala tuju masa hadapan, Program Explore Your Future with Pendidik telah mengupas hala tuju setiap peserta melalui sesi kaunseling secara kelompok di mana satu kumpulan dianggotai oleh enam pelajar matrikulasi dan dibimbing seorang fasilitator dan pembantu fasilitator.

Sepanjang menjalankan sesi kaunseling, fasilitator telah mengaplikasikan teknik teknik dalam teori kaunseling dalam bentuk aktiviti mengikut kreativiti masing masing.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Snake and Ladder, Poison Beatbox, Walk Your Path, Future Tissue dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini mengandungi mesej tertentu yang ingin disampaikan agar klien mendapat celik akal berkenaan hala tuju mereka.

Program ini merupakan salah satu peluang kepada para pelajar Pendidik untuk merasai sendiri pengalaman menjalankan sesi kaunseling kelompok dan bertindak sebagai fasilitator selain meluaskan jaringan dengan masyarakat setempat.

“Program ini membantu menambah kefahaman para pelajar berkenaan subjek Teori dan Praktis Kaunseling Kelompok.Sesi pembelajaran bukan hanya berlaku di dalam kelas, tetapi juga berlaku di luar dewan kuliah jadi pengalaman ini amat berharga,” tambahnya.

Pensyarah Penasihat Program, Dr Saralah Devi A/P Mariamdaran, kepentingan praktis dalam subjek kaunseling kelompok amatlah penting dalam pembelajaran pelajar terhadap subjek tersebut.

“Sebagai pelajar amat penting untuk mempraktikkan apa yang mereka pelajari di dalam kelas bersama dengan komuniti setempat yang memberi pengalaman sebenar kepada pelajar untuk menyiapkan diri bagi menempuh alam pekerjaan sebagai kaunselor suatu hari nanti,” katanya.