Aluan DEKAN

Image

Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar

Assalamuálaikum, warahmatullahi wabarakaatuh dan Salam Sejahtera.

Ahlan wa Sahlan dan Selamat datang ke Laman Web Rasmi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP). Laman web ini diharap dapat membantu dan memudahkan anda untuk mencapai maklumat yang dikehendaki. Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia merupakan Pusat Pengajian yang mempunyai visi dan misi yang jelas sebagai sebuah pusat kecemerlangan dalam pembangunan sosial dan masyarakat di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Harapan saya  sebagai Dekan agar laman web ini dapat memberi informasi berkaitan Pusat Pengajian, kakitangan dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Pusat Pengajian ini. Laman web ini akan dikemaskini  dan dikongsikan bagi membolehkan orang ramai mengetahui maklumat dan perkembangan semasa Pusat Pengajian. Justeru, saya berharap kewujudan laman web ini akan membolehkan orang ramai mengetahui keberadaan Pusat Pengajian dan beroleh manfaat atas segala informasi yang dikongsi.

Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) menawarkan program-program di peringkat sarjana muda dan juga pasca siswazah. Bagi program di peringkat sarjana muda, setakat ini SAPSP menawarkan dua program iaitu Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial dengan Kepujian dan juga Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian. Manakala di peringkat Pasca Siswazah, SAPSP menawarkan program Sarjana Kerja Sosial dengan Kerja Kursus, Sarjana Sains Kaunseling dengan Kerja Kursus dan Sarjana Sains Koreksional dengan Kerja Kursus. Pusat Pengajian ini juga menawarkan Program Pasca Siswazah melalui mod penyelidikan iaitu Sarjana Sastera (Kerja Sosial), Sarjana Sastera (Psikologi), dan Sarjana Sains (Kaunseling). Manakala di peringkat Ijazah Sarjana Kedoktoran Falsafah (PhD) pula, terdapat beberapa bidang pengajian ditawarkan iaitu Kerja Sosial, Kajian Sosial, Kaunseling, Koreksional dan Psikologi. Selain itu, SAPSP juga banyak mengadakan program-program Sijil Eksekutif,  Program Latihan dan Diploma Pasca Siswazah kepada pelbagai agensi dan organisasi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, PERKESO, SUK Johor dan lain-lain.

Tenaga akademik dan kepakaran dari SAPSP telah banyak memberi sumbangan kepada komuniti, agensi kerajaan dan swasta seperti ceramah, bengkel dan latihan. Selain itu kajian-kajian, penerbitan buku dan jurnal serta perundingan juga diberikan kepada pelbagai pihak yang berkolaborasi dengan SAPSP. Ini termasuklah penglibatan dengan komuniti melalui khidmat masyarakat selaras dengan usaha menjadikan keberadaan SAPSP khasnya dan UUM amnya memberi impak yang signifikan terhadap kesejahteraan masyarakat.    

Kami mengalu-alukan bakal pelajar yang berminat untuk bersama kami di SAPSP dalam menerokai perjalanan intelektual yang mengujakan. Anda semua dipelawa untuk melayari laman web ini dan meneliti program pengajian yang ditawarkan. Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, anda dijemput untuk menghubungi kami bagi tujuan pencerahan. Kami amat berbangga dan gembira untuk membantu anda. Kepada pelajar sedia ada, SAPSP akan berterusan cuba memberikan pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang terbaik. Menerusi kurikulum yang dibangunkan, kami mahu mempastikan graduan yang dihasilkan adalah berilmu, berkompetensi serta bersifat holistik yang dapat membina aspirasi, mencungkil bakat dan sekaligus menyerlahkan potensi diri mereka dalam mendepani cabaran kehidupan semasa dan akan datang. Kami juga mahu mempastikan alumni SAPSP berbangga dengan alma mater anda.   

Laman ini akan dikemaskini dari masa ke semasa apabila kami menambah informasi. Namun  ia tidak akan dapat menggantikan pengalaman yang anda bakal perolehi apabila menjadi warga SAPSP atau berkolaborasi.dengan kami. Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang pertanyaan, cadangan, komen serta maklumbalas membina daripada tuan puan bagi tujuan penambahbaikan laman web ini dari masa ke semasa.

Sekian, terima kasih.


Dekan
Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial
Universiti Utara Malaysia