• Home
  • News
  • CCCJ 2017 BERI PENDEDAHAN ISU-ISU KOREKSIONAL DAN KEADILAN JENAYAH

CCCJ 2017 BERI PENDEDAHAN ISU-ISU KOREKSIONAL DAN KEADILAN JENAYAH

SAPSP Online: 17 Ogos 2017. UUM Online: Dalam mendepani cabaran dunia semasa yang semakin kompleks, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) telah menganjurkan Conference on Correction and Criminal Justice 2017 (CCCJ 2017) di Auditorium, School of International Student (SoIS) UUM pada 17 Ogos lalu.

Bertemakan “Transforming Correctional, Rehabilitation and Crime Policies Towards Human Well-Being,” konferens yang menggabungkan tenaga kerja dan kepakaran daripada tiga organisasi ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan isu koreksional dan keadilan jenayah serta menyalurkan maklumat mengenai isu jenayah, pemulihan dan pembangunan komuniti dalam meningkatkan kesejahteraan negara.

Perasmian CCCJ 2017 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Wira Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Pengerusi MCPF Negeri Kedah.

Beliau dalam ucapan perasmiannya berharap persidangan itu menjadi wacana perbincangan dan perkongsian ilmu dalam menyumbang dan menyokong usaha pihak polis dalam membanteras dan mencegah jenayah.

"Konferens ini memberi ruang kepada pelbagai pihak berkaitan untuk melihat isu pencegahan jenayah dan koreksional melalui pendekatan ilmiah menerusi pembentangan kertas kerja merangkumi isu-isu seperti penyalahgunaan dadah, bahan terlarang, jenayah dan kriminologi serta intervensi dan rehabilitasi.

"Fakta baru yang dibentangkan dalam pembentangan kertas kerja dan forum ini akan memberi manfaat dan panduan kepada semua pihak dalam merancang program kepada kumpulan sasar sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat masyarakat dalam daerah masing-masing.

"Selain itu, topik yang menjadi isu hangat dalam media massa pada masa ini seperti terrorism, recidivism dan pencegahan keselamatan negara, polisi dan undang-undang serta tidak dilupakan kertas kerja berkaitan koreksional diyakini akan mencetuskan pelbagai idea yang unik dan baru untuk dibawa pulang para peserta untuk dimanfaatkan," ujarnya.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Hassan Ali yang mewakili Naib Canselor berkata kerjasama antara SAPSP, PDRM dan MCPF dapat menjadi platform terbaik dalam menghimpunkan pelbagai agensi dan institusi untuk menjana idea, menyokong dan menggembleng tenaga ke arah mentransformasi kesejahteraan rakyat.

“Peranan universiti sebagai gedung ilmu yang melahirkan modal insan akan menjadi lebih mantap melalui penganjuran konferens sebegini yang menjadi medan percambahan ilmu dan perkongsian pengalaman antara pensyarah dengan pelbagai kakitangan agensi luar dalam memastikan matlamat mentransformasi kesejahteraan rakyat tercapai,” ujarnya yang membacakan teks ucapan Naib Canselor.

Seramai 500 peserta menjayakan konferens ini, 66 daripadanya merupakan pembentang kertas kerja.

CCCJ 2017 antara lain membincangkan berkaitan polisi dan perundangan, keselamatan negara, terorisme, keselamatan siber, koreksional dan sistem pemulihan, kaunseling koreksional, intervensi, tingkahlaku delinkuan, keganasan rumahtangga dan lain-lain.

Konferens ini dimulakan dengan ucap utama daripada Ketua Polis Kedah, YDH CP Dato’ Asri Yusoff dan diteruskan dengan sesi forum dan sesi selari.

Hadir sama Dekan SAPSP, Prof Madya Dr Noor Azniza Ishak; Timbalan Pengerusi MCPF, Datuk Kamarudin Md Ali; Penagarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Kedah, Mahadzir Elias; Ketua-ketua Cawangan, Ketua-ketua Balai, AADK Negeri Kedah, AKRAB PDRM Kedah, PDRM, Pegawai-pegawai Penjara, Guru-guru sekolah serta pensyarah-pensyarah UUM.

Sumber:
UUM Online (19 Ogos 2017)
Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon
Gambar oleh: Abdul Halim Husain

 

Posted in SAPSP Online

Print

Sky Vegas review bettingy.com/sky-vegas-casino read at bettingy.com