NEWS

NAIB CANSELOR ADAKAN LAWATAN MUHIBAH KE PUSAT PENGAJIAN DAN PUSAT TANGGUNGJAWAB

SAPSP Online: 19 Februari 2019. Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani telah mengadakan lawatan muhibah ke atas pusat pengajian dan pusat tanggungjawab (PTJ), baru-baru ini. Antara pusat pengajian dan PTJ terlibat ialah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) dan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI).  Beliau memulakan lawatan muhibah tersebut ke pejabat SAPSP yang disambut oleh Penolong Naib Canselor UUMCAS, Prof. Dr. Huda Ibrahim dan Dekan SAPSP, Dr. Abdul Razak Abd Manaf.

Dalam lawatan itu, Naib Canselor berkesempatan menyertai kelas SSKC2333 Kemahiran Kaunseling Kelompok dibawah seliaan Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir dan berasa begitu teruja kerana dapat menyertai dan mengenali pelajar secara dekat, seterusnya beliau mengadakan perjumpaan bersama staf SAPSP di Bilik Mesyurat Utama. Naib Canselor berkata, beliau berharap SAPSP dapat meningkatkan lagi bilangan pelajar antarabangsa yang menyertai program yang ditawarkan di SAPSP dan berharap agar proses pembelajaran di dalam kelas perlu mempunyai teknologi terkini sesuai dengan peredaran zaman dan genarasi sekarang. Katanya, semua pelajar dan staf SAPSP harus mengikuti cara pendidikan di Jepun iaitu mengamalkan dan mempraktikan ilmu (knowledge applied) ke dalam komuniti sekitar negeri Kedah, bukan hanya teori dalam kuliah sahaja.

"Saya juga mahu SAPSP dapat memperbanyakkan lagi penerbitan dan penyelidikan yang sedia ada bagi memastikan pencapaian Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) UUM dicapai," katanya.  Pada masa sama, beliau menyarankan SAPSP untuk mencari dana kewangan sendiri (generate income) dengan lebih banyak dari tahun-tahun yang lepas serta mencadangkan agar SAPSP dapat menaikkan taraf fasiliti teknikal dengan menggunakan kewangan pusat pengajian sendiri. Naib Canselor juga turut menampilkan beberapa cadangan lain seperti memberikan servis pakej kaunseling kepada pelajar kurang upaya dan juga masyarakat luar, khususnya di Kedah, pelajar SAPSP menceburi bidang korporat, perbankan dan perkilangan agar dapat memperluaskan karier serta dapat mengamalkan dan mempraktiskan kemahiran yang dipelajarinya serta tidak tertumpu kepada jabatan yang sedia ada seperti hospital, sekolah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Lawatan beliau diteruskan lagi ke SCIMPA dan Naib Canselor menekankan supaya SCIMPA dapat meningkatkan kolaborasi dengan industri kreatif supaya lebih dikenali di dalam dan luar negara serta perlu mengadakan kerjasama dengan syarikat bumiputera dan bukan bumiputera yang dapat memberi impak kepada pusat pengajian. Selain itu, beliau juga mahu SCIMPA yang dipimpin Dekannya, Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin untuk meningkatkan promosi untuk mendapatkan pelajar dalam dan luar negara melalui promosi yang lebih agresif dengan menonjolkan kepakaran yang ada, mengkaji kebolehpasaran pelajar selepas mereka tamat belajar, pengambilan pensyarah dengan latar belakang budaya yang pelbagai juga perlu untuk membantu dari segi akademik dan meneruskan usaha bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa seperti CUMULUS dan Centre International de Liaison des Ecoles de Cinéma et de Télévision (CILECT).

Sementara itu, di CEDI, Pengarah Eksekutifnya, Prof. Madya Dr. Chandrakantan a/l Subramaniam telah memberikan taklimat tentang pencapaian CEDI dan ENACTUS, kemudian Naib Canselor dibawa meninjau sekitar bangunan CEDI.

Pada Majlis Perhimpunan Bulanan UUM pada Januari lalu, Naib Canselor telah mengumumkan akan turun padang membuat lawatan muhibah ke setiap PTJ dan pusat pengajian bagi mendekati dan memahami hala tuju serta mengetahui pelan strategik semua PTJ dan pusat pengajian di UUM.

Habis.

Sumber: UUM Online, Unit Komunikasi Korporat UUM.