NEWS

SPEC BANGKIT SEMANGAT BERI KOMITMEN JITU DALAM KERJAYA

SPEC konvo edit

SAPSP ONLINE: 26 Mac 2019. Kejayaan 77 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperoleh Sijil Eksekutif Praktis Kerja Sosial (SPEC) diharap membangkitkan semangat jitu terhadap kerjaya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Ayoib Che Ahmad yang mewakili Naib Canselor berkata, jadikan kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan komitmen jitu terhadap kerjaya, malah menjadi inspirasi kepada rakan dan juga ahli keluarga.

Menurutnya, sijil eksekutif yang ditawarkan merupakan hasil perbincangan dan kerjasama erat antara UUM dan JKM sejak 2013 dan modul dihasilkan adalah berbentuk tailor-made melibatkan penyediaan bahan (modul), perkongsian ilmu dan penyeliaan latihan kepada peserta.

"Mereka yang lulus ini adalah antara yang berjaya melengkapkan semua keperluan kursus, di samping menjalankan tugas hakiki pada masa sama.

"Saya juga mengalukan kakitangan JKM berpotensi dan bermotivasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk pegawai jabatan yang berminat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) supaya lebih ramai pengamal yang profesional dan pakar dalam menangani isu sosial di Malaysia dapat dihasilkan," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Eksekutif Praktis Kerja Sosial (SPEC) 2019 di EDC Hotel and Resorts, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), JKM, Rosmahwati Ishak yang mewakili Ketua Pengarah berkata, sehingga kini seramai 396 pegawai JKM telah mendapat manfaat menerusi program SPEC itu sejak 2013 lagi dan beliau berharap kerjasama antara UUM dan JKM akan diteruskan lagi bagi melahirkan lebih ramai peserta program tersebut.

Menurutnya, SPEC merupakan satu mekanisme untuk mendapatkan latihan secara profesional sebagai pekerja sosial supaya dapat menjadi pegawai JKM yang berpengetahuan, berkualiti dan kompetensi dalam bidang kerja sosial.

Katanya, beliau berharap semua peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh sepanjang tempoh mengikuti program tersebut, seterusnya meningkatkan mutu kerja masing-masing.

Pada majlis itu, 77 kakitangan JKM dari Kohort 11 dan Kohort 12 serta kohort lain telah menerima sijil masing-masing dan dua daripadanya telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPEC yang mana bagi Kohort 11/2018 oleh Mohd Firdaus Mokhtar dan Kohort 12/2018 oleh Rozilawati Mohd Salim.

Kedua-dua pelajar terbaik itu masing-masing melahirkan rasa gembira kerana dipilih menerima anugerah tersebut walaupun masing-masing sibuk dengan tugas hakiki, namun tetap berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menamatkan program SPEC dalam tempoh ditetapkan.