Peserta PESAN 2 UUM-ISM Sedih Tragedi di Libya

1

14 SEPTEMBER 2023 / 28 SAFAR 1445H

KUALA LUMPUR – Peserta Persidangan Kerja Sosial Kebangsaan Kali-2 (PESAN 2) di Institut Sosial Malaysia (ISM) pada 13 dan 14 September 2023 melahirkan rasa sedih dengan terkejut dengan tragedi yang berlaku di Libya.

Kira-kira 10,000 penduduk Libya dipercayai hilang dalam banjir besar yang melanda negara itu, menurut pegawai Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, berita ini bukan sahaja mengejutkan peserta persidangan malah warga UUM juga berduka dengan maklumat sumber bebas yang disahkan jumlah penduduk Libya yang hilang setakat ini sudah mencecah kira-kira 10,000 seperti yang dilaporkan dalam media.

Katanya, UUM akan mendapatkan maklumat dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan akan cuba membantu samada melibatkan kutipan sumbangan dan sebagainya.
Manakala Dekan SAPSP, Prof Madya Dr Md Zawawi Abu Bakar yang mewakili peserta seminar juga berharap rakyat negara itu bersabar dan berdoa agar bantuan dapat disalurkan segera oleh semua negara bagi membantu rakyat dan memulihkan negara itu.
Pengarah Program PESAN 2, Prof Madya Dr Rajwani Md Zain berkata, peserta seminar rata-rata terkejut dengan peristiwa yang difahamkan kira-kira satu perempat daripada bandar Derna di timur Libya musnah akibat banjir besar selepas empangan pecah dalam ribut sebelum ini.
Katanya dalam berita yang dilaporkan lebih 1,000 mayat sudah ditemui setakat ini dan urusan pencarian dan bantuan terus digerakkan.
“Kami yang berada dalam kelompok kerja sosial amat memahami dengan penderitaan dan kesusahan mereka yang mengalaminya dan doa tetap kami panjangkan agar pemulihan dan bantuan dapat disegerakan,” sambungnya lagi.
Bagi Ketua Jabatan Program Sastera dan Sains, UUM KL Dr Chan Cheong Chong, apa yang berlaku di Libya itu sebenarnya memberi isyarat kepada rakyat Malaysia juga yang tragedi seperti ini boleh berlaku dimana-mana.
Oleh itu kita perlu mengerakkan usaha dan bersedia untuk berganding bahu dengan mana-mana organisasi bagi membantu negara atau rakyat yang menimpa bencana seperti ini.
“Bukan sekadar kesedihan, simpati atau empati tetapi yang penting usaha untuk memulihkan dan mengurangkan beban sekaligus membangunkan semula negara itu,” sambungnya lagi.
Pembentang kertas kerja Profil Kecerdasan Emosi dan Pencapaian Akademik dalam kalangan pelajar penerima zakat, Prof Madya Dr Zarina Mat Saad ketika ditemui pula berkata, dalam usaha pencarian rakyat yang terlibat Libya itu badan-badan bukan kerajaan (NGO) haruslah segera digerakkan untuk mengumpul dana dan menyalurkannya melalui pertubuhan atau wakil sah dari kerajaan nanti.
“Pastinya rakyat Libya yang terlibat kini menderita dengan peristiwa itu dan saya berharap rakyat dan negara itu boleh dibangunkan semula walaupun mengambil masa,” ujar Ketua Kluster Pembangunan Kerja Sosial, ISM Faizah Abdullah.
Sementara itu Timbalan Pengarah Program PESAN 2, Dr Teoh Ai Hua yang mendapat maklumat mengenai tragedi ini mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terlibat di Libya dan berharap usaha untuk membantu dan mencari mereka yang terlibat dalam bencana itu akan turut mendapat bantuan dan kerjasama dari negara-negara di dunia ini.
“Moga bantuan dapat dipercepatkan dan usaha untuk memulihkan negara itu akan disegerakan,” ujarnya lagi.