ICCC Platform Analisis Idea Tentang Kaunseling dan Koreksional

419 OKTOBER 2023 / 4 RABIULAKHIR 1445H

ICCC Platform Analisis Idea Tentang Kaunseling dan Koreksional
 
Oleh: Nordiana Shafie 
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
 
SINTOK: Bidang kaunseling dan koreksional memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat keseluruhan dapat berkembang dengan sihat, maju dan sejahtera.
 
Berucap di International Correctional And Counselling Conference 2023 (ICCC 2023), Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sistem keadilan jenayah negara kini telah berkembang dan bergerak ke arah yang memfokuskan kepada pendekatan pemulihan.
 
Menurutnya, menyelesaikan isu-isu yang berkaitan koreksional memerlukan usaha kolaboratif dan langkah proaktif, terutamanya daripada golongan profesional dan cendekiawan dalam sektor pemulihan dan perkhidmatan sosial.
 
“Untuk mencapai kemajuan dalam bidang ini, adalah penting untuk memupuk tahap kesedaran yang tinggi dan secara aktif mengejar pengetahuan, kemahiran dan nilai baharu.
 
“Justeru, persidangan ini adalah sesuai untuk kita meneroka perkara-perkara penting yang berkaitan dengan perkhidmatan koreksional dan sokongan yang diberikan kepada individu yang berada dalam sistem keadilan jenayah,” katanya.
 
ICCC 2023 anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM telah disertai kira-kira 250 peserta dari pelbagai negara termasuk Filipina, China, Amerika Syarikat, Indonesia dan Thailand.
 
Bengkel selama dua hari bermula hari ini dikendalikan oleh pakar bidang dari Jabatan Penjara, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Hospital Sultanah Bahiyah serta ahli akademik SAPSP.
 
Pada majlis sama turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara UUM dan MCPF yang ditandatangi Naib Canselor UUM dan Naib Pengerusi Kanan, MCPF, Dato’ Sri Ayub Yaakob.
 
Selain itu, juga diadakan Pelancaran Buku Kaunseling dan Koreksional serta Rakan MCPF-UUM.
 
Dr. Mohd Foad berkata, melalui ICCC juga peserta dapat mengumpul dan menganalisis secara sistematik semua pendedahan yang bernas, idea dan perspektif yang relevan tentang bidang koreksional dan kaunseling.
 
Katanya lagi, persidangan itu juga menjadi salah satu bukti dedikasi untuk meningkatkan kehidupan dan memupuk masyarakat yang mengutamakan keselamatan dan keadilan sosial.
 
Sementara itu, Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar berkata, persidangan ini membawa perbincangan tentang koreksional dan rehabilitasi dengan lebih berjaya.
 
Menurut beliau, bertemakan ‘Strengthening the Roles of Correctional and Counselling Resources Towards Empowering Resilient Nationhood’, ICCC memberi tumpuan luas kepada pelbagai disiplin yang menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
 
“Persidangan ini akan memberi peluang kepada peserta untuk berbincang dan bertukar maklumat mengenai inisiatif perkhidmatan sosial dan intervensi yang sesuai dalam pelbagai persekitaran global.
 
“Menerusi pendekatan kaunseling, pemulihan dan sokongan komuniti, kita boleh membina sistem keadilan jenayah yang lebih berkesan yang benar-benar menegakkan prinsip keadilan, kesamarataan dan peluang yang sama untuk semua orang,” ujarnya.
 
Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Dato’ Fisol Salleh dan Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah, Negeri Kedah, Dato’ Dr. Zulkifly Mohamad.