LAWATAN KE SAPSP IMBAU NOSTALGIA NAIB CANSELOR

2

15 MEI 2023 / 24 SYAWAL 1444H

Oleh: Omar Ibrahim dan Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

 

UUM ONLINE: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Pepatah ini sesuai bagi lawatan Naib Canselor, Prof Dr. Mohd Foad Sakdan ke Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), hari ini.
Di sinilah tempat beliau memulakan tugas sebagai pensyarah UUM sebelum mengorak langkah menuju ke puncak sehingga bergelar Naib Canselor.
Lawatan ke SAPSP ini merupakan salah satu rangka lawatan beliau untuk meninjau perkembangan pusat pengajian, di samping mengadakan perbincangan dengan pihak penjawat berkaitan keperluan semasa pusat pengajian.
Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md Zawawi Abu Bakar bersama barisan penjawat telah memberikan taklimat kepada Naib Canselor mengenai pencapaian dan hala tuju pusat pengajian.
Semasa sesi maklum balas, Mohd Foad berkongsi hasrat beliau untuk melihat SAPSP menjadi sumber rujukan serantau dalam pengurusan kerja sosial.
Di samping itu, beliau menggalakkan pusat pengajian untuk mengembangkan jaringan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan dan industri.
Beliau juga berharap SAPSP terus aktif dalam menabur bakti untuk komuniti melalui kerja-kerja sukarelawan terutamanya yang melibatkan rakyat negeri Kedah.
Di akhir lawatan beliau sempat menjamu selera bersama rakan-rakan lama sempena Majlis Aidilfitri SAPSP.
Beliau turut menjenguk bilik yang pernah didiami beliau semasa menjadi pensyarah di Sekolah Pembangunan Sosial (SPS) yang kini dikenali sebagai SAPSP.