SAPSP Semai Semangat Sukarelawan Di Kalangan Pelajar Sekolah

 

 
 
4 Julai 2023: Sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dr. Mohd Alif Jasni telah melaksanakan sesi pemindahan ilmu iaitu memperkasakan minat kesukarelawanan pelajar sekolah dan amalan gaya hidup sihat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok. Program tersebut turut dibantu oleh Dr. Teoh Ai Hua, Cik Sharima Ruwaida Abbas, Dr. Nurhazlina Mohd Ariffin, Dr. Norzaliza Alis dan Dr. Fatimah Zailly Ahmad Ramli.
Peserta program terdiri daripada kalangan pelajar tingkatan 3 dan 4 seramai 89 orang yang telah mengikuti ceramah berkaitan manfaat, peranan dan aktiviti kesukarelawanan. 
Di samping ceramah, program ini turut menjalankan aktiviti gotong royong mengemaskan kawasan persekitaran sekolah merangkumi bilik guru dan  surau. Setiap barangan yang dikumpulkan telah dikelompokkan mengikut jenis barang seperti plastik, botol, kertas dan sebagainya. Semua sampah yang terkumpul ini telah dihantar ke pusat kitar semula, UUM.
Menurut Mohd Alif, program ini mendapat maklum balas positif dalam kalangan peserta berdasarkan soal selidik yang dibuat. Program ini akan diperluaskan ke semua sekolah dalam daerah Kubang Pasu dan destinasi program ini seterusnya ialah Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok. 
Turut hadir ke program ini ialah Cikgu Nor Rizan A. Latif, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Cikgu Salwati Ahmad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kaunselor.