11 Julai 2023: Sesi pemindahan ilmu dalam memperkasakan minat kesukarelawanan pelajar sekolah dan amalan gaya hidup sihat serta pemeliharaan alam sekitar yang dianjurkan oleh pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM), diteruskan lagi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok. Sesi pada kali ini disertai oleh pelajar-pelajar darjah enam seramai 89 orang serta dihadiri juga oleh guru mata pelajaran kelas yang terlibat dan kaunselor sekolah.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal tentang bidang kesukarelawanan dan peranan yang boleh dimainkan oleh pelajar sekolah rendah sebagai sukarelawan di sekolah mereka. Sesi pemindahan ilmu ini dimulai dengan sesi perkenalan oleh Dr Mohd Alif Jasni, diikuti oleh sesi ‘Apa itu Kesukarelawanan, Kerja Sukarela dan Sukarelawan’ oleh Dr Fatimah Zailly Ahmad Ramli dan sesi perkongsian amalan gaya hidup sihat dan pemeliharaan alam sekitar oleh Dr Teoh Ai Hua. Dr Nurhazlina Mohd Ariffin dan Dr Norzaliza Alis meneruskan sesi terakhir tentang usaha yang boleh dilakukan oleh pelajar di SKBBS berkaitan pembersihan dan kutipan sampah dalam perkarangan sekolah. Program pada kali ini dibantu sepenuhnya oleh sembilan orang sukarelawan pelajar UUM.
Sesi pemindahan ilmu diharapkan berupaya memberi kesedaran kepada pelajar tentang makna, manfaat dan kepentingan aktiviti kesukarelawanan. Secara keseluruhan, program ini mendapat maklum balas positif dalam kalangan peserta berdasarkan soal selidik yang dibuat. Siri seterusnya akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain dalam daerah Kubang Pasu, Kedah.