Duta UIN AR-RANIRY tiba di UUM

4 JANUARI 2024 / 22 JAMADILAKHIR 1445H

Oleh: Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir

Gambar oleh: SAPSP

DUTA UIN AR RANIRY TIBA DI UUM

Gambar SAPSP/UUM Today

SINTOK: Seramai 10 pelajar dari Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh, Indonesia telah tiba di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyertai Program Mobiliti (Tidak Berkredit) Inbound Luar Negara mulai 1 Januari hingga 19 Januari 2024.

Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara universiti, menjana pemahaman antarabangsa dan memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani pengalaman pendidikan di luar negara.

Menurutnya, ia juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memajukan agenda pengantarabangsaan universiti, memperkaya pengalaman akademik pelajar dan membina jaringan kerjasama yang lebih erat antara institusi pengajian tinggi.

“UIN Ar-Raniry telah lama menjalin kerjasama strategik dengan UUM dalam pelbagai bidang. Kehadiran pelajar dari universiti tersebut di UUM tidak hanya memperkuat lagi hubungan ini tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk mengenali budaya, persekitaran universit, dan mencipta pengalaman baru dalam pembelajaran universiti.

“Selain daripada aktiviti pembelajaran di UUM, pelajar ini juga akan menghadiri program SULAM (Service Learning Malaysia) di Kota Kuala Muda dari 4 hingga 6 Januari. Program ini memberikan peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial, kesukarelawaan dan mengenal pasti elemen-elemen kebudayaan tempatan,” katanya.

Dr. Md. Zawawi berkata, harapannya agar pelajar mobiliti ini dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk mendalami pengalaman pembelajaran di UUM.

Beliau juga turut menekankan bahawa mereka merupakan duta yang mempromosikan program-program di UUM di peringkat antarabangsa, terutama di Indonesia. Ini sejajar dengan usaha meningkatkan kedudukan UUM di persada antarabangsa.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Inapan Siswa (INASIS) BSN di mana pelajar juga turut dilibatkan dalam aktiviti bersama dengan pengurusan INASIS dan barisan kepimpinan pelajar.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah pensyarah-pensyarah daripada program psikologi dan kaunseling SAPSP. – Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir