Persatuan Pelajar Kerja Sosial, SAPSP dengan Kerjasama Penyelidik Geran Penjanaan Penyelidik Muda 2023 dan Malaysian Crime Prevention Foundation, Kedah (MCPF) telah menganjurkan Program “For Love Or Money” di Dewan Auditorium, CAS pada 2 Julai baru-baru ini.
Rentetan daripada penyelidikan yang dijalankan oleh ahli penyelidik Geran Penjanaan Penyelidik Muda 2023 iaitu Prof. Madya Dr. Abdul Razak Abd Manaf, Dr. Nur Hafizah Md Akhir dan Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin yang bertajuk Jenayah Cinta Siber: Pengetahuan Dan Kesediaan Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah mendorong mereka untuk menjalankan Program Pencegahan Jenayah Cinta Siber ini.
Panel jemputan khas bagi sesi perkongsian ilmu berkaitan Love Scam ini telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Zulkifly Mohamad selaku Pengerusi MCPF Kedah dan Prof. Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saad, Pakar Bidang Psikologi dan Kriminologi, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia juga merangkap ECXO MCPF.
Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SAPSP berkata program sebegini wajar dilaksanakan berikutan kes-kes penipuan love scam yang semakin meningkat dan pelajar universiti juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa love scam.
Diharapkan input dan perkongsian ilmu daripada panel berkaitan love scam ini dapat mendidik dan memberi pengetahuan sekaligus persediaan kepada pelajar-pelajar daripada menjadi mangsa love scam.