Oleh: Yasmine Farhan Azran dan S.Pherianan
Mempraktikkan ilmu teoritikal ke lapangan merupakan suatu elemen penting dalam mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran pelajar tentang sesuatu bidang.
Justeru, seramai 13 pelajar kursus SSWA3313 (Kemahiran Kerja Sosial dalam Pusat Pemulihan), Semester A232, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan program Cinta Mencintai, Sayang Menyayangi, Kita Satu Keluarga dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu, Kedah.
Pengarah Program, Izzah Adriana Athirah Zulkifli berkata, pelaksanaan program yang disertai 16 klien penyalahgunaan dadah dalam pengawasan Orang Kena Pengawasan (OKP) bersama keluarga ini sangat bermanfaat kepada pelajar kerja sosial terutamanya dalam mengenali sikap, kognitif dan tingkah laku klien.
Jelasnya, program bermatlamat untuk memahami isu psikososial dan cabaran klien dalam pemulihan ketagihan dadah sangat relevan kepada pelajar Pengurusan Kerja Sosial dalam mempraktikkan ilmu dan kemahiran kerja sosial secara realiti.
“Perkongsian klien tentang isu psikososial dan cabaran pengekalan kepulihan memberi input penting kepada pelajar dalam merangka pelan intervensi kerja sosial yang bersesuaian.
“Pendedahan menemubual klien merupakan pengalaman berharga sepanjang tempoh pengajian.
“Peluang yang jarang-jarang diperoleh ini sangat memberi makna kepada mereka sebagai pelajar pengurusan kerja sosial, rata-ratanya menyatakan perasaan teruja dapat menjayakan program ini bersama klien OKP,” ujarnya.
Pemilihan aktiviti bagi memenuhi program mengambilkira banyak aspek seperti kesesuaiannya dengan situasi dan keadaan psikologi klien, tempoh dan tempat pelaksanaan aktiviti.
Terdapat tiga aktiviti utama iaitu aktiviti jasmani dan pembinaan hubungan baik pelajar-klien; “We Care We Love”, diikuti aktiviti sesi perkongsian bersama klien; “Social Support System”, seterusnya menyelami cabaran klien dalam mengekalkan kepulihan ketagihan dadah, Your Hope and Our Hope.
Sementara itu, pensyarah, Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) berkata, sesi bersama klien penyalahgunaan dadah mendedahkan pelajar dengan kemahiran intervensi kerja sosial.
Beliau berharap segala ilmu pengetahuan dan kemahiran kerja sosial khususnya dalam pemulihan klien yang terlibat dengan dadah atau jenayah dapat membantu meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat dan negara apabila bergraduat kelak.
Ujarnya, program seumpama ini perlu diadakan lebih kerap kerana memberi manfaat kepada para pelajar yang bakal menjadi pekerja sosial profesional.