SINTOK: Pada 9 Julai 2024 (Selasa), satu program dibawah inisiatif Service Learning (SULAM) Pengajian Tinggi iaitu TSUNAMI ILMU KOMUNITI AKTIF (TIKAF 3.0) : "MINDA SIHAT SAYA BAHAGIA" dan "PLAN YOUR FUTURE-RISE & REALIZE (RnR)" telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Menengah Kota Kuala Muda, Kedah. Program ini bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada komuniti pelajar di peringkat Sekolah Menengah tentang kepentingan mengenalpasti dan mengurus kesihatan mental serta emosi dengan baik agar mampu menjadi pelajar yang lebih berdaya saing sesuai era globalisasi. Di samping itu menerusi program RnR pula, komuniti pelajar diberi pendedahan tentang merancang masa depan mengikut keperluan semasa dan jangka panjang selepas tamat sesi persekolahan di tingkatan lima.
Seramai 47 orang pelajar dari kelas Strategi Intervensi dengan Komuniti dan Pengurusan Organisasi Kumpulan A yang dikendalikan oleh Dr. Nurhazlina Mohd Ariffin dan Kumpulan B, Puan Sharima Ruwaida Abbas, pensyarah dari Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM telah terlibat daripada fasa perancangan (pemetaan komuniti) sehingga fasa pelaksanaan program. Program ini telah berjaya menarik minat 60 orang pelajar dari tingkatan empat untuk menjayakannya.
Program ini telah berjaya dilaksanakan hasil sokongan padu dan kerjasama daripada Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar, pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia, dan Pengetua Sekolah Menengah Kota Kuala Muda, Encik Mohd Sofi bin Zainal Abidin , pihak pentadbiran dan guru. Hasil daripada usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pelajar, pogram yang berlangsung selama setengah hari ini juga telah mendapat beberapa tajaan dalam bentuk barangan, makanan, dan wang tunai.
Ucapan aluan pembukaan telah diberikan oleh Puan Zunita binti Che Pee, Penolong Kanan Pentadbiran pada jam 9.00 pagi. Manakala ucapan perasmian penutup telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani, Timbalan Dekan Akademik Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, UUM pada jam 2 petang. Turut hadir bersama sepanjang program berlangsung ialah beberapa orang guru yang terdiri daripada guru kaunseling, guru ko-kurikulum dan guru kelas.
Secara rumusannya, program ini telah mendapat pujian daripada komuniti pelajar dan juga guru kerana telah berjaya meningkatkan pengetahuan serta kesedaran berkaitan kesihatan mental dan perancangan masa depan menerusi beberapa aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) yang telah dijalankan. Program SULAM ini juga diharap dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bersama beberapa komuniti setempat di kawasan sekitar Kota Kuala Muda, Kedah. SEKIAN.