ISDC gabungan pelbagai disiplin ilmu bentuk masa depan inklusif

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK: 5th International Social Development Conference (ISDC 2024) menjadi wadah untuk mencari penyelesaian dan menjalin hubungan dalam membentuk masa depan inklusif dan mampan yang membabitkan gabungan pelbagai disiplin ilmu seperti sains, sains sosial, teknologi, pendidikan dan kesihatan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, ISDC 2024 berfungsi sebagai platform yang tidak ternilai untuk memanfaatkan inovasi dan memupuk kerjasama merentas disiplin serta peluang untuk mencari penyelesaian baharu, meneroka rangka kerja yang inovatif dan menjalin perkongsian yang akan membantu membentuk masa depan yang mampan.

Menurutnya, ISDC 2024 juga membuka peluang untuk menjalin hubungan baharu dalam pembangunan sosial, berasaskan inovasi dan diperkukuh oleh kerjasama merentas disiplin di mana ia menjadi platform untuk berkongsi idea, pandangan dan pengalaman secara kolektif untuk memacu perubahan transformatif.

IMG 20241031 WA0019

“Kita menerima idea bahawa penyelesaian yang paling berkesan selalunya adalah dari persimpangan disiplin yang berbeza di mana sains, sains sosial, teknologi, pendidikan dan kesihatan harus bersatu.

“Jadi, fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah untuk pembanguan bakat, penyelidikan dan inovasi serta pemindahan pengetahuan dan perkongsian pengetahuan,” katanya ketika merasmikan 5th International Social Development Conference (ISDC 2024) di EDC UUM, hari ini.

Dr. Azlinda berkata, cabaran yang dihadapi mungkin rumit, tetapi dengan kerjasama semua pihak mampu membina masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan untuk semua, seterusnya menggunakan persidangan ini sebagai batu loncatan untuk bertindak.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, persidangan berprestij ini mempunyai kepentingan yang besar kerana ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan tema ‘Innovation and Cross-Disciplinary Collaboration in Social Development for Transformative Change’.

Menurutnya, kita berkumpul dengan komitmen untuk menangani beberapa cabaran yang mendesak pada masa kini. Dalam dunia yang berubah dengan pantas yang dipenuhi dengan kerumitan, ketidaksamaan, dan peluang yang belum diterokai, peranan pembangunan sosial sangat penting.

IMG 20241031 WA0000

Katanya, persidangan ini berfungsi sebagai platform yang unik dan penting di mana pengamal bidang kerja sosial, sarjana, penggubal dasar dan pelajar berkumpul merentasi sempadan disiplin untuk berkongsi pandangan dan meneroka pendekatan inovatif.

“Bersama-sama kita menyasarkan untuk membina rangkaian kerjasama, mencetus pemikiran kreatif dan kritis, dan akhirnya memberi inspirasi kepada tindakan sosial yang boleh membentuk masa depan yang lebih inklusif, adil dan mampan untuk semua.

“Cabaran hari ini memerlukan kita untuk bergerak melangkaui pendekatan konvensional dan menerima kerjasama rentas disiplin. Isu-isu ini tidak terhad kepada satu bidang kepakaran, sebaliknya menuntut integrasi pengetahuan daripada sains sosial, teknologi, dasar, kesihatan, ekonomi, dan banyak lagi,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang membacakan teks ucapan beliau.

Beliau yakin ISDC 2024, termasuk ucaptama, perbincangan panel pakar, bengkel dan pembentangan selari akan memupuk rangkaian sosial yang kukuh dan memudahkan pertukaran idea yang bermakna dalam bidang pembangunan sosial ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar; Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Dr. Faridah Awang dan Pengarah ISDC, Dr. Teoh Ai Hua.