8 DISEMBER 2024 / 6 JAMADILAKHIR 1446H
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari
UUM ONLINE: Pengalaman dalam pengendalian dan pengurusan parol wajar dibukukan berserta dengan paten, khasnya aspek tingkah laku dan psikologi parolee.
Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, bagi memperkasa inisiatif ini, beliau mencadangkan agar program Sijil Eksekutif Intervensi Parol (SEIP) ini dapat di eksport ke negara-negara ASEAN, termasuklah ke Indonesia dan negara ASEAN yang lain.
Menurutnya, setelah melalui beberapa siri program SEIP ini, beliau yakin kedua-dua pihak iaitu Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) telah pun pelajari banyak ilmu baharu dan juga pengalaman dalam bidang berkenaan, justeru, sudah sampai masanya modul ini dijadikan satu standard dan dibukukan.
Katanya, Program SEIP merupakan inisiatif yang dirancang secara khusus antara SAPSP dan Jabatan Penjara Malaysia, melalui Jabatan Parol dan Perkhidmatan Komuniti. Peserta program ini terdiri daripada pegawai-pegawai JPM yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan parol di seluruh negara.
"Dalam konteks ini, UUM melalui SAPSP mempunyai pakar-pakar dalam bidang kaunseling, koreksional, dan kerja sosial. Bidang-bidang ini amat relevan dengan pengurusan isu-isu manusia yang dihadapi oleh banduan, khususnya banduan yang diparol (parolee).
"JPM pula menyediakan kepakaran dari segi pengurusan banduan, khasnya melalui jabatan parol. Dengan kata lain, program ini merupakan kombinasi kepakaran antara dua institusi yang menawarkan pakej yang komprehensif dalam menangani isu parol yang bersifat humanisme," katanya dalam teks yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed pada Majlis Graduasi Sijil Eksekutif Intervensi Parol (SEIP) 2024 di EDC UUM, hari ini.
Beliau yakin dan percaya bahawa program SEIP yang telah berjalan selama tiga bulan pada tahun ini telah mencapai objektifnya dan memberikan manfaat dalam membentuk pegawai parol yang efisien.
Menurutnya, UUM sentiasa komited dalam menyediakan platform yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran, justeru UUM kini telah mempertingkatkan prasarana ICT dan bilik kuliah pintar bagi memudahcara program-program secara dalam talian atau dikenali sebagai Open Distance Learning (ODL).
Katanya, UUM akan terus membuka peluang kepada semua warga Malaysia untuk terus menuntut ilmu di gedung ilmu di bumi Sintok ini, selaras dengan falsafah pembelajaran sepanjang hayat.
Sementara itu, Pengarah, Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Jabatan Penjara Malaysia, Ketua Pesuruhjaya Zainah Pardi berkata, seramai 36 peserta terdiri daripada pegawai parol daerah dan pegawai parol institusi berjaya menamatkan Sijil Eksekutif Intervensi Parol pada kali ini.
Menurutnya, program kali ketiga ini diadakan dengan kerjasama UUM Leads dan SAPSP sejak 2017 dan pada tahun ini ia dijalankan selama 10 hari bermula 19 hingga 28 Ogos lalu.
Katanya, peserta akan menjalani latihan praktikal di peringkat lapangan operasi di mana program intervensi akan dibuat bersama-sama prospek di dalam komuniti.
"Dalam memastikan pelaksanaan program ini berjalan baik, aspek kemahiran dan peningkatan kompetensi kepada kakitangan amat diperlukan supaya banduan yang pulih tidak kembali semula ke dalam penjara.
"Terima kasih kepada UUM kerana telah membantu meningkatkan kompetensi kepada pegawai parol. Harapan saya semua peserta dapat manfaatkan kursus diberi sepanjang tempoh berkenaan," katanya.
Hadir sama, Dekan, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar; Pengarah, Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar dan Pengurus Besar, UUMLEADS, Prof Madya Dr. Mohd Sobri Don @ A Wahab serta pegawai-pegawai kanan universiti dan Jabatan Penjara Malaysia.