Program SULAM Apa Habaq Kuala Muda : Bantu Cegah, Komuniti Sejahtera

WhatsApp Image 2024 12 16 at 12.56.10 PM

Kuala Muda, 12-13 Disember 2024 – Program “Apa Habaq Kuala Muda: Bantu Cegah, Komuniti Sejahtera” anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui kursus SSKCK3733 Kaunseling Komuniti, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), telah berlangsung dengan jayanya. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap isu jenayah dan memupuk intervensi pencegahan secara menyeluruh.

 DSC 0358


Kehadiran dan Sokongan Padu Program yang berlangsung selama dua hari ini telah melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda serta keluarga angkat dari Taman Sri Kota, Deraka dan Kampung Sungai Emas. Ia turut disokong oleh pelbagai agensi dan komuniti setempat. Ceramah, sesi bimbingan, dan aktiviti interaktif telah menjadi elemen utama program. Program ini dirasmikan oleh Dato' Dr. Zulkifli Mohamed, Pengerusi MCPF Kedah merangkap Pengerusi Majlis Kepimpinan Pengakap Negeri Kedah. Ceramah Bertemakan Kesedaran Jenayah Hari pertama dimulakan dengan ceramah berfokus kepada isu semasa seperti buli, gangguan seksual, dan ancaman komuniti scammer. Para peserta diberi panduan praktikal mengenai cara mencegah dan menangani cabaran ini. Penglibatan Komuniti Secara Langsung Sesi pada waktu petang melibatkan pelajar UUM dan keluarga angkat dalam slot “Bimbingan Pencegahan Jenayah” yang bertujuan mengeratkan hubungan serta membina pemahaman mendalam tentang situasi sosial setempat. Antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan scammer, buli (fizikal & siber), vandalisme, penyalahgunaan bahan, pornografi, ponteng sekolah, memeras ugut, merempit, dan kecurian.

IMG 1922


Seterusnya pada waktu malam, aktiviti bersama keluarga angkat akan dijalankan, di mana para pelajar dan keluarga angkat mereka akan duduk bersama untuk berbincang dengan lebih mendalam mengenai isu-isu jenayah yang sering menjadi perhatian di media sosial pada masa kini. Perbincangan ini akan memberi tumpuan kepada punca berlakunya jenayah tersebut, kesannya terhadap komuniti, dan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil untuk menangani isu ini secara efektif. Selain itu, sesi ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta program dan komuniti setempat mengenai kepentingan kerjasama antara keluarga, pihak berkuasa, dan masyarakat dalam mencegah jenayah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti. Aktiviti ini diharapkan dapat memupuk nilai kebersamaan, tanggungjawab sosial, dan kefahaman mendalam terhadap cabaran yang dihadapi oleh masyarakat hari ini.

DSC 0382

Hari Kedua Meriah dengan Aktiviti Interaktif dimana aktiviti diteruskan dengan aktiviti senamrobik dan sukaneka bertemakan kesedaran jenayah seperti “Explorace Jenayah” dan “Aku Bukan Mangsa”. Aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan dan juga dalam pada masa yang sama turut mendidik peserta tentang cara untuk mengelak daripada menjadi mangsa jenayah.
Majlis Penutup Program disempurnakan dengan satu acara rasmi yang meriah, di mana penghargaan khas diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk peserta, keluarga angkat, penceramah, fasilitator, serta agensi-agensi yang memberikan sokongan. Dalam ucapannya, Dr. Mohd Ahsani bin A. Malek, yang juga merupakan Setiausaha Yayasan Pencegahan Jenayah Universiti Utara Malaysia (UUM), menekankan bahawa usaha kolaboratif ini membuktikan keberkesanan pendekatan holistik dalam menangani pelbagai isu berkaitan jenayah yang melanda masyarakat masa kini. Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja berjaya menyatukan universiti, komuniti, dan pihak berkuasa dalam satu platform, tetapi juga memberi peluang untuk meningkatkan kesedaran, mendidik masyarakat, serta memperkukuhkan jaringan sokongan sosial yang penting dalam usaha pencegahan jenayah. Aktiviti sebegini, menurut beliau, mampu membawa impak positif jangka panjang, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan komuniti secara menyeluruh.

DSC 0518


Impak positif daripada program ini jelas dapat dilihat melalui peningkatan kesedaran dalam kalangan pelajar dan komuniti tentang langkah-langkah pencegahan jenayah yang praktikal dan efektif. Kesedaran ini memainkan peranan penting dalam mengubah cara masyarakat memandang isu jenayah, serta memberi mereka pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk mengambil tindakan proaktif bagi melindungi diri sendiri dan komuniti mereka. Selain itu, program ini juga berjaya memperkukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat, sekaligus membuka ruang untuk kerjasama yang lebih erat dan berterusan pada masa hadapan. Hubungan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertukaran ilmu dan pengalaman, tetapi juga meningkatkan kepercayaan antara kedua-dua pihak dalam usaha membangun masyarakat yang lebih aman dan sejahtera. Pada masa yang sama, program ini turut mewujudkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan organisasi tempatan, yang mana sinergi ini amat penting untuk menjamin keberkesanan dan kelangsungan usaha pencegahan jenayah pada masa akan datang.

DSC 0300

Semoga inisiatif seperti ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada pelbagai pihak untuk terus menganjurkan program yang mempunyai visi yang sama, iaitu menjamin keamanan dan kesejahteraan komuniti di masa hadapan. Dengan adanya usaha bersepadu yang berterusan, masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih selamat, harmoni, dan sejahtera, sekaligus mencapai matlamat pembangunan sosial yang mampan.

WhatsApp Image 2024 12 16 at 12.56.12 PM