Jawatankuasa Jaringan Industri (JIM) Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) telah bekerjasama dengan pertubuhan MERCY Malaysia dalam penganjuran program “BAKTI UNTUK DUNIA: MISI KEMANUSIAAN MERCY UNTUK KEAMANAN SEJAGAT". Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya pelajar-pelajar di intitusi pengajian tinggi dan sekolah mengenai kepentingan misi kemanusiaan dan peranan sukarelawan muda dalam membantu golongan yang memerlukan.
Penceramah jemputan adalah Encik Radzi Jamaluddin, EXCO MERCY Malaysia yang telah berkongsi pengalaman beliau terlibat dengan pasukannya dalam misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Rafah pada Mei 2024. Beliau menceritakan tentang persediaan serta cabaran fizikal dan mental yang dihadapi oleh pasukan mereka semasa menyampaikan bantuan di sana. Beliau juga menitipkan panduan kepada peserta untuk menjadi sukarelawan di peringkat antarabangsa. Turut serta adalah Datin Raja Riza Shazmin binti Raja Badrul Shah, CEO MERCY Center of Humanitarian Development (MCHD). YM Datin Raja Riza Shazmin dan Encik Radzi turut melakukan kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor UUM Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan.
Program yang dirasmikan oleh Dekan SAPSP Prof. Madya Dr. Md Zawawi Abu Bakar turut hadiri oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) SAPSP Prof Madya Dr. Azlin Hilma Hillaluddin, Pengarah Program iaitu Dr. Nurhazlina Mohd Ariffin, Pengetua Inasis MAS yang juga ahli MERCY Malaysia Cik Sharima Ruwaida Abbas, pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar UUM, pelajar-pelajar mobiliti antarabangsa dari Indonesia serta pelajar-pelajar dari SMK Bandar Baru Sintok.