SAPSP rai pelajar Program Mobiliti Berkredit (Inbound) dari UNAIR

3

SINTOK, 10 Februari 2025 : Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan majlis bagi meraikan dua pelajar Mobiliti Berkredit (Inbound) dari Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia yang telah mengikuti program kaunseling di UUM sepanjang Semester A241 bermula 1 oktober 2024.

Kedua-dua pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada hasil kolaborasi Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAPSP, UUM dan UNAIR yang telah terjalin selama 9 tahun yang lalu. Sepanjang tempoh pengajian di UUM, mereka berpeluang mengikuti kursus-kursus berkaitan kaunseling serta melibatkan diri dalam aktiviti akademik dan kebudayaan yang memperkayakan pengalaman mereka di Malaysia.

2

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani binti Ismail, yang sudi menyampaikan cenderahati SAPSP kepada para pelajar yang diraikan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka dalam program ini.

1

Mereka dijadualkan akan berangkat pulang ke Jakarta pada 12 Februari 2025 selepas berjaya melengkapkan tempoh pengajian mereka di UUM.

Sementara itu, program mobiliti outbound akan diteruskan dengan penghantaran seramai tujuh pelajar SAPSP ke UNAIR bagi mengikuti pengajian selama satu semester. Inisiatif ini diharapkan dapat terus memperkukuhkan jalinan akademik antara kedua-dua universiti serta memberi manfaat kepada para pelajar dalam memperluaskan pengalaman dan jaringan antarabangsa.